kisah klasik untuk masa depan
walaupun kita ada dua almari penuh dengan baju, akan ada sehelai baju yang paling kita suka.

baju itu mungkin bukan baju yang paling mahal atau bukan dari jenis yang paling bermutu, tapi kita kalau boleh mahu pakai baju itu hari-hari. biarlah orang fesyen kata baju itu tidak berfesyen, biarlah orang lain kata baju itu tidak kena. pada kita, itulah baju yang paling sedap dipakai dalam dunia.

lalu kita akan jaga baju itu baik-baik.

bila basuh, kita tidak basuh baju itu sekali dengan baju-baju yang lain. kalau baju lain seminggu pakai baru kita basuh, baju itu kita akan basuh sebaik sahaja lepas kita pakai. kalau baju lain kita bilas dengan air biasa sahaja, baju itu kurang-kurang kita celup dengan softlan dulu. begitu juga bila hendak simpan. kalau baju lain kita gumpal-gumpal kemudian sumbat dalam almari, baju itu kita gosok siap-siap dan gantung dengan penyangkut baju.

tapi pada asalnya kita lahir tidak berbaju. jadi apa-apa yang kita pakai hanyalah untuk sementara.

sebaik manapun kita jaga, lambat laun kita tidak akan dapat pakai baju itu lagi.

dek kerana kita basuh hari-hari, warnanya luntur. dek kerana kita selalu pakai, baju itu jadi lusuh. mungkin juga dek ada orang yang dengki, baju itu kena curi. paling tidak pun, baju itu sudah tidak muat atau kita sendiri sudah jemu pakai baju itu.
br> bila kita sudah buang baju itu, kadang-kadang kita akan tidak ingat pun kita pernah ada baju itu.

tapi sebagai manusia biasa, agak payah untuk kita ucap selamat tinggal.

sebab itulah bila isteri saya dimaklumkan borang permohonan tukar sekolahnya mungkin diluluskan, dia seperti tidak teruja. beberapa bulan yang lepas, itulah yang sering disebut-sebutnya. jauh ulang-alik, kerja banyak, staf tidak beri kerjasama, kena buli dengan bos - seolah-olahnya kalau boleh mahu tukar sekolah hari itu juga.

tapi jauh dalam hati dia, sekolah itulah 'baju yang paling dia suka'.

dia mengajar di situ dari zaman dia belum kenal saya lagi. walaupun masuk sebagai guru kontrak, dia ialah 'orang penting' di sekolah itu. guru kelas, warden asrama, setiausaha kelab guru - tidak peliklah dalam ramai-ramai cikgu yang lebih senior, dia yang dipilih untuk pangku tugas penolong kanan. walaupun dia banyak merungut pasal kerjanya, dia tetap seorang perempuan: mulut ngomel-ngomel tapi dalam hati rasa sayang.

saya pernah berada dalam situasi dia. bertukar tempat kerja bukanlah sesuatu yang kita mahu dan boleh buat hari-hari. bak kata orang putih - 'rumput di seberang sana tidak selalunya hijau'. kalau tidak kena gaya, kita boleh rasa menyesal.

tapi kalau kita boleh anggap pekerjaan kita itu macam baju, kita tidak ada apa-apa untuk dirisaukan.

adakalanya dengan memakai baju yang baru, kita akan jadi lebih ceria. kadang-kadang bila kita sudah ada baju yang baru, baju yang lama; walaupun baju itu pernah jadi baju kesayangan kita, kita sedekah kepada anak yatim sahaja.

kata isteri saya, bakal sekolah barunya nanti lebih teruk dari sekolah dia sekarang. tapi saya yakin; tidak lama selepas dia berpindah, dia akan tukar cerita pasal sekolah barunya itu. sekurang-kurangnya, dia akan kata sekolah barunya itu sama macam sekolah lamanya. sebab 'orang penting-penting' ini tidak akan 'tumpah kuahnya ke lantai'.

sekurang-kurangnya bersyukurlah, ada orang sudah 2 tahun mintak tukar tapi tidak lepas-lepas!