J.U.L.A.I 2.0.0.9


  • 23 Julai 2009 / 1 Syaaban 1430H

Selaksa Cerita Dirangkai Bersama

Mentari Khamis
Hari ini, aku berpuasa. Dengan nawaitu untuk mengutip ihsan dari Sang Pencipta. Sambil menemankan dinda untuk membayar puasa Ramadhan yang 'berlubang' ~ dan masih banyak berbaki. Dalam waktu yang sama, menunaikan nazar yang telah terlafaz. Allah itu maha kaya, kerana setelah nazar yang muntah terlafaz dengan segera pula tertunai. 'Kun Faya Kun'. Allahu Akbar!
Sementelah, permulaan Syaaban dikhabarkan ganjarannya berganda. Tapi sesungguhnya bukan itu yang menghairahkan aku...kerana aku tahu, aku tidak layak untuk mendapat ganjaran-Nya. Apa yang aku dambakan, hanyalah belas ihsan dan kasih sayang dari-Nya yang Khaliq. Sedar akan kedudukan iman diri...daif lagi hina.

Whilea ~ Anakanda Putri : Buah hatiku
Cahaya jiwa ku yang satu-satunya ini sudah pun berusia 9 bulan. Sangat comel, cergas dan cerdik. Satu fasa perkembangan yang sangat mengujakan. Membesarkan Whilea adalah satu pengalaman yang tidak mampu dibeli di kompleks membeli-belah manapun. Walaupun dilahirkan awal 2 bulan dari waktu matang, tumbesaran putri ku ini amatlah memberangsangkan. Kali terakhir temujanji rawatan bersama Doktor di Institut Pediatrik HKL ~ putri ku ini melepasi semua ujian yang diberikan. Malah ukuran tingginya terlebih dari yang sewajarnya!

Whilea & Dinda : Bersantai di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang

Whilea & Dinda ~ Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang

Memandang Whilea ketika tidur, adalah saat yang mendamaikan hati ku. Ketika itu aku rasakan alam terhenti, cahaya mengembang berwarna-warni dan bunyi gemersik mengalun menenangkan...memandang Whilea mengingatkan aku pada seseorang. Ya, seseorang yang ku rasakan sangat akrab dan dekat. Bagai mengimbau kenangan lampau. Siapalah ya yang comel itu? :P

Kerja & Beban Tugas
Bila dilantik menganggotai jawatankuasa kerja berkaitan projek pembaharuan dan keselamatan (CCTV) bagi seluruh negara untuk hampir 700 premis ~ milik sebuah syarikat GLC (tempat aku cari makan), rasanya tergalas beban yang amat besar di atas bahu. Projek yang menelan kos belanja 7 angka ini, menjadikan aku semakin tidak cukup tangan. Apatah lagi dengan kekalutan encik ketua yang baru naik pangkat tetapi tidak setimpal cara kerjanya itu, menjadikan pening dikepala semakin parah. Aduhai tugas!

Babah Sakit Teruk
Babah, usianya cukup 82 tahun pada Mei yang lalu. Sepanjang aku mula diberikan ingatan dan pandai mengingat, babah tidak pernah sakit seteruk ini. Paling tidak, babah pernah menjalani 1 kali pembedahan (ceasarean) dan 2 kali pembedahan (laser) terhadap bahagian ususnya. Itu pun sudah hampir 13 tahun berlalu dan sudah sembuh sepenuhnya. Tapi tidak kali ini, kepulangan aku terakhir kali sungguh terasa sayu hati. Babah hanya terlantar terbaring di tilam. Bangun perlu dipapah. Buang air juga adakalanya di sisi tilam. Percakapan hampir tidak jelas. Ahh! Mana babah ku yang kuat dan cergas dulu?
Kesedaran terus menghentak-hentak kepala bila mengingatkan tentang masa yang berlalu dan usia yang bertambah. Babah sudah berusia lanjut. Maha Suci Allah kerana memberikan rahmat panjang umur dan keberadaan sehingga kini. Dan Maha Suci Allah juga yang menguji dengan keuzuran yang nyata. Pernah kau dengar tentang LIMA PERKARA sebelum datangnya LIMA PERKARA? Satunya adalah tentang usia MUDA dan usia TUA.
Ketepikan dulu soal mistik dan kerohanian yang menuntut tingkat pemahaman Usulludin yang tinggi, kerana rasanya tidak layak aku untuk membicarakannya. Cukuplah sekadar pengetahuan dan pemahaman aku seorang sahaja. Babah, doa ku semoga cepat sembuh dan kembali cergas seperti biasa. Whilea masih belum puas bermain dengan nendanya - Tok Babah.

Karnival Pelancongan Pembelajaran Pelajar (3P)
Agaknya sudah tercatat rezeki untuk aku, event yang disangka dibatalkan oleh Kementerian Pendidikan rupanya diteruskan kembali dengan dana yang baru. Syukur. Bakal berlangsung pada awal Ogos ini. Team aku telah dilantik sebagai pengurus acara. Dan aku, akan mengendalikan seksyen Permainan ~ Treasure Hunt, Galah Panjang Gladiator dan Giant Puzzle. Kehadiran dijangka melebihi 2000 orang. Lokasi? SMK Anderson Ipoh. Sasaran? Pelajar-pelajar sekolah menengah yang terpilih dari seluruh negara. Ok adik-adik, tunggulah set soalan yang menanti kalian. :P

Hidup penuh rencam dan warna. Aku perlu berganjak dan berubah. Tidak ada sesuatu kaum yang berubah jika kaum itu sendiri tidak mengubah. Paradigma. Aku perlu lakukan anjakkan paradigma...oh bukan, aku perlu lakukan ujaan paradigma. Pesan kepada diri ~ ego perlu diketepikan, jangan fikir tentang diri sendiri semata dan cara berfikir serta pemikiran perlu matang dan selaras, ok?
Sabtu ini aku akan ke Ipoh.


  • 03 Julai 2009 / 10 Rejab 1430H

Meminta, Memberi

Meminta lebih derita, tetapi memberi lebih merasa. Memberi lebih pilu, tetapi meminta lebih silu. Meminta lebih emosi, tetapi memberi lebih koreksi. Memberi lebih mulia, tetapi meminta lebih bahagia. Meminta harus berani, tetapi memberi lebih berseni. Memberi lebih mengalah, tetapi meminta lebih merendah. Meminta mudah melupa, tetapi memberi lebih waspada. Meminta membersih dosa, tetapi memberi membersih dendam selaksa.
Meminta dan memberi, biarlah dan haruslah selari. Dalam kesaksian yang penuh erti, untuk mencari nilai ikhlas yang hakiki. Jangan biarkan padam dihujung tinta, jangan tinggalkan sekadar budaya.
Jadikan meminta dan memberi ~ mahar cinta yang abadi.

*** saat ini, hidup semakin lupa untuk memberi...tetapi lebih banyak untuk meminta. Tanyalah pada diri, apa yang kita beri pada Ilahi atau tanah pertiwi?
Bukan kempen merayu UNDI!!! :p